Monday, 4 August 2014

Rumusan

Rancangan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengadakan perhimpunan secara besar-besaran di ibu negara pada 9 Julai depan bagi memperjuangkan agenda tertentu mereka, mendapat liputan meluas oleh media cetak dan elektronik sejak beberapa minggu lepas. Walaupun pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang permit kepada mereka untuk berbuat demikian berasaskan pertimbangan daripada segi keselamatan dan ketenteraman awam, namun penganjur perhimpunan itu tetap berdegil untuk meneruskan niat mereka, tanpa mempedulikan hak orang lain untuk menjalani kehidupan dengan tenang dan selesa.
Sehingga kini, pelbagai pihak, bukan sahaja di ibu negara, tetapi juga dari seluruh negara telah menyuarakan bantahan dan membuat laporan polis mengenai perhimpunan haram yang akan diadakan itu. Ini termasuk peniaga, pemandu teksi, pihak berkuasa seperti polis, pemimpin kerajaan dan badan bukan kerajaan. Bagaimanapun, kumpulan pengacau ini tetap berdegil untuk meneruskan juga agenda mereka untuk turun berdemonstrasi di jalanan.



Kumpulan Pengacau


Kumpulan ini cuba menghalalkan tindak-tanduk mereka dengan menjadikan rakyat sebagai perisai, tanpa memikirkan kesan negatif yang akan timbul daripada tindakan mereka.   Perhimpunan haram yang berlaku di Thailand, Indonesia dan Timur Tengah jelas memperlihatkan impak negatif yang sangat besar terhadap kestabilan politik, perpaduan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi, selain merencatkan peningkatan kehadiran pelancong di negara terbabit.  Apa yang lebih membimbangkan, ada pihak luar yang mengambil kesempatan dan ini boleh menjejaskan imej negara di mata dunia.
Lebih malang lagi, tindakan tidak bertanggungjawab pihak pengacau itu turut membawa kesusahan terhadap golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Golongan peniaga juga akan terjejas teruk sehingga terpaksa menanggung kerugian besar ekoran rusuhan yang terjadi ketika kumpulan pengacau ghairah berdemonstrasi.



Gunakan Saluran Undang-Udang


Jika penganjur menyatakan tujuan perhimpunan haram ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih, kenapa ia tidak dibawa mengikut saluran yang betul, iaitu menyerahkan kepada mahkamah atau menggunakan saluran undang-undang untuk menuntut atau menegakkan keadilan seperti yang diperjuangkan.  Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah menyatakan kesudian untuk mendengar tuntutan dan pandangan kumpulan pengacau ini.

Kesan Buruk


Ada yang berpandangan berhimpun itu suatu bentuk kebebasan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun sejauh manakah keberkesanan pihak penganjur untuk menjamin demonstrasi yang dijalankan tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada banyak pihak, khususnya rakyat di sekitar Kuala Lumpur. Jika kita amati, berdasarkan pengalaman lalu, perhimpunan seumpama ini telah mengundang terlalu banyak impak buruk kepada negara apabila demonstrasi dijalankan di jalanan. Pihak yang berkepentingan tentunya tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam hal ini. 
Kalau disoroti pengalaman dahulu, pihak berkuasa seperti polis dan pasukan anti rusuhan seperti FRU dilabel sebagai tidak berperikemanusiaan terhadap aktivis yang berdemonstrasi. Wartawan asing dan media yang menyokong agenda perjuangan parti tertentu ternyata membuat liputan berat sebelah apabila hanya menyiarkan sedutan rakaman yang menggambarkan pihak berkuasa bertindak ganas menghuraikan perhimpunan yang diadakan.  
Kerugian Jutaan Ringgit




Antara aspek yang perlu diberi perhatian oleh golongan yang degil ini adalah kerugian yang bakal ditanggung banyak pihak jika demonstrasi haram ini diteruskan. Presiden Persatuan Pemandu Teksi Lembah Klang, Datuk Aslah Abdullah mendakwa seramai 21,000 pemandu teksi di Lembah Klang akan mengalami kerugian RM3.2 juta sehari. Itu baru pemandu teksi. Bayangkan berapa besar jumlah keseluruhan kerugian yang terpaksa ditanggung golongan peniaga dan individu di sekitar lokasi yang disasarkan pihak berkenaan untuk berdemo? 
Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2009 melaporkan, peniaga di sekitar ibu negara menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM100 juta akibat demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang didalangi oleh pihak yang sama sehari sebelumnya. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang meninjau lokasi terbabit, anggaran awal jumlah kerugian itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima daripada para peniaga. Peniaga di Lorong Tuanku Abdul Rahman sahaja, menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM3 juta. 
Soalnya, sanggupkah penganjur perhimpunan itu membayar pampasan dan kerugian kepada golongan peniaga ini? Atau, adakah pihak penganjur akan sekali lagi bersikap lepas tangan dan menyalahkan pihak berkuasa sekiranya berlaku rusuhan dan kerosakan harta benda awam  akibat kedegilan dan kerakusan kumpulan berkenaan.




Jangan Gadai Keharmonian Yang Ada


Biarpun mungkin kita saling berbeza pendirian politik, janganlah kita menggadaikan keharmonian dan keutuhan hubungan antara kaum yang terbina selama ini, demi mencapai matlamat politik sendiri melalui jalan singkat.
Hormatilah hak-hak rakyat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan secara bersama. Menerusi Perlembagaan ini juga, kita dijamin untuk mengamalkan sistem demokrasi terpimpin. Justeru, tidak ada mana-mana individu mempunyai alasan yang lebih konkrit dan munasabah untuk menjadikan perhimpunan haram sebagai medium untuk menyuarakan ketidakpuasan hati, yang akhirnya akan membawa mudarat yang lebih besar kepada kestabilan politik, kesepaduan rakyat dan kedaulatan negara yang tercinta.
Tolaklah dan janganlah kita layani kumpulan pengacau yang hanya memperjuangkan kepentingan peribadi mereka.  Usahlah biarkan diri kita diperalat oleh golongan yang tidak tahu menghargai kestabilan dan keamanan negara ini semata-mata untuk mencapai matlamat mereka.

Kita rakyat di bumi tercinta, Malaysia tidak sanggup dijajah minda, apa tah lagi kuasa asing. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh – Malaysia tetap di hati biar, di mana kita berada


No comments:

Post a Comment